Monday 21 July 2014

Penyiasat Belanda Mula Periksa Mayat Penumpang MH17 ?


Pasukan penyiasat Belanda sudah mula menjalankan pemeriksaan terhadap mayat penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang disimpan di dalam kereta api di bawah kawalan tentera pemberontak pro-Russia.

Menurut laporan AFP, gerabak kereta api yang membawa lebih 200 mayat itu dibuka dan diperiksa oleh dua lelaki yang lengkap dengan topeng berikutan mayat-mayat berkenaan sudah mula mereput.

“Saya fikir penyimpanan ini adalah terdiri daripada mayat yang masih baik,” kata Peter Van Vliet, pakar forensik terkemuka pasukan Belanda selepas memeriksa mayat-mayat terbabit.

Pakar itu berkata, lebih 50 pemberontak bersenjata kelihatan mengawal kawasan itu dan memberitahu pasukannya akan menuju ke lokasi kemalangan utama kira-kira 15 kilometer dari tempat penyimpanan.

Para penyiasat berkenaan disertai oleh satu pasukan pemantau antarabangsa daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) yang sudah melawat kawasan kemalangan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk memindahkan mayat ke wilayah kawalan Kiev.


“Matlamat utama adalah untuk mendapatkan kereta api itu keluar dari kawasan itu dan dihantar ke wilayah yang dikawal Ukraine, sebaik-baiknya di kawasan Kharkiv,” kata Rutte, merujuk kepada sebuah bandar kira-kira 300 kilometer dari kawasan itu yang masih kekal di tangan Kiev.

“Kumpulan tentera pemberontak pro-Russia berkata pemerhati antarabangsa perlu hadir di lokasi semasa kereta api itu digerakkan dan pakar-pakar Belanda akan menjadi pemerhati antarabangsa. Mereka akan dapat memainkan peranan itu,” kata Rutte. “Kita mahu rakyat kita kembali,” tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Close