Monday, 21 July 2014

MH17: Tahniah PM…Puak Pemisah AKUR Permintaan Malaysia!


Kerajaan dan puak pemisah pro-Rusia mendapat sepakat dalam permintaan negara dalam isu insiden MH17 yang terhempas Khamis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiga perkara yang dipersetujui bersama ialah isu mayat yang akan dipindahkan, penyerahan kotak hitam dan jaminan penyiasat bebas untuk masuk ke lokasi kemalangan dan membuat siasatan.

“Kita sudah menjalin kerjasama dengan semua pihak yang yang bertanggungjawab dengan kemalangan ini.

“Masalah juga sudah dikenal pasti selain menetapkan perjanjian bersama untuk melakukan tindakan susulan,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini.

Ujar Najib, perbualan telefon dengan ketua pemberontak Alexander Borodai juga sudah dibuat sebelum tiga kata sepakat itu diperoleh.

“Pertama, mayat 282 orang akan dipindahkan dengan kereta api untuk diserahkan kepada wakil-wakil dari Belanda. Kereta api akan berlepas dan akan diiringi oleh enam wakil Malaysia.


“Mayat akan diterbangkan ke Amsterdam dan mayat rakyat Malaysia akan diterbangkan pulang dengan C130 Hercules untuk prosedur forensik seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Najib, perjanjian kedua adalah kedua-dua kotak hitam juga akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk untuk susulan siasatan lanjut.

Sementara ketiga katanya, penyiasat antarabangsa bebas juga akan dijamin akses selamat untuk lokasi kemalangan untuk memulakan siasatan penuh kejadian.

“Saya perlu menegaskan bahawa walaupun perjanjian telah dicapai, masih terdapat beberapa langkah-langkah yang diperlukan sebelum ia selesai.

“Saya meminta semua pihak untuk terus bekerja bersama-sama dan memastikan perjanjian ini dihormati selain semua permintaan dipenuhi sepenuhnya,” jelasnya.

Najib turut melahirkan simpati dan kesedihan rakyat negara ini terhadap insiden berkenaan. (sumber Astroawani.com)

No comments:

Post a Comment

Close