Saturday 19 July 2014

Bukan Tugas Kami Beri Amaran Bahaya Roket – ICAO Menyatakan ?



OTTAWA – Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menegaskan hari ini bahawa bukan tugas agensi itu mengeluarkan amaran mengenai ancaman bahaya seperti konflik tentera kepada syarikat penerbangan.

Sebaliknya ICAO yang di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia sebaliknya adalah tanggungjawab yang dipikul setiap negara.

Peranan ICAO menjadi kritikan hebat selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dilaporkan ditembak jatuh oleh peluru berpandu di timur Ukraine, Khamis lalu yang mengorbankan semua 298 orang di dalam pesawat.

ICAO yang berpusat di Montreal, Kanada menolak cadangan bahawa agensi itu sepatutnya yang mengeluarkan amaran mengenai bahaya kepada syarikat penerbangan sekiranya pesawat terbang di kawasan terbabit.

“ICAO tidak mengisytiharkan ruang udara itu selamat atau tidak selamat atau menanggung sebarang tanggungjawab secara terus berkaitan khidmat penerbangan udara awam,” kata jurucakapnya, Anthony Philbin.

“Ia sepatutnya tanggungjawab negara anggota untuk menasihatkan negara lain mengenai soal keselamatan,” katanya.


Ditanya sama ada ICAO pernah mengeluarkan amaran mengenai bahaya serangan misil atau roket, beliau berkata: ” Ia bukannya kerja kami.”

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ICAO sudah pun menutup laluan udara di timur Ukraine selepas nahas pesawat Malaysia itu.

ICAO bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuka atau menutup laluan udara.

ICAO pernah mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan pada April lalu mengenai laluan di ruang udara Crimea ketika krisis dengan Russia namun ia mencetuskan masalah kepada kawalan udara trafik, bukannya risiko daripada keadaan konflik berkenaan.

Amaran itu bukannya berbentuk satu arahan tetapi lebih kepada ‘pertimbangan diberikan untuk mengelak daripada ruang udara berkenaan’. – REUTERS

No comments:

Post a Comment

Close