Monday, 8 December 2014

Al-Fatihah : D.JALALUDDIN HASSAN Rebah lolai di tanah perkuburan...



jalaluddin hassan




Jalaluddin bagaimanapun berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menghabiskan masa terakhir bersama Allahyarham ketika beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Afzan, Kuantan Pahang akibat serangan jantung.

“Arwah mendapat serang jantung pada Sabtu lalu ketika berada di Kemaman, Terengganu dan dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke hospital di Kuantan pagi semalam (Ahad).

“Sebaik sahaja mendapat khabar itu saya dan adik-beradik lain bergegas ke sana dan Alhamdulillah kami berada di sisinya pada saat-saat akhir hayatnya dan beliau pergi dengan tenang dan aman,” katanya kepada mStar Online.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Teratai, Ampang di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Turut hadir memberikan penghormatan kepada arwah adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selain ahli keluarga dan kenalan rapat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya di Ampang Jaya.
Fuad, 62, diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu 11.15 malam Sabtu lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Mariam Bahari, sepuluh cahaya mata dan enam orang cucu.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, Fuad adalah seorang yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan arwah sentiasa memastikan mereka adik-beradik akan berkumpul dan meluangkan masa bagi merapatkan silaturahim.

Malah Jalaluddin turut menyifatkan Allahyarham sebagai pendengar setia sekiranya ada dikalangan mereka mempunyai sebarang masalah atau ingin berbincang mengenai sesuatu perkara.

“Allahyarham bukan sahaja seorang abang tetapi beliau juga adalah sahabat baik saya malah hubungan kami memang akrab sejak kecil dan kami tidak pernah berpisah.

“Malah selepas berkahwin kami tinggal berjiran sehingga ke hari ini dan kehilangannya amat meninggalkan kesan dan tiada lagi tempat saya mengadu masalah namun saya redha dengan ketentuan Allah,” katanya.

Jalaluddin berkata, Fuad pernah berpesan kepadanya supaya memastikan ikatan mereka adik-beradik sentiasa kuat dan meminta beliau menjaga keluarganya yang lain.

“Itu adalah kata-kata yang sering dia pesan kepada saya dan Insya Allah amanat itu akan saya pegang,” ujarnya.

Mengenai pembabitan Jalaluddin sebagai sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega (MLM), beliau hanya menjawab ringkas: “Saya belum pasti sama ada akan hadir atau tidak pada Jumaat ini.”

Sementara itu, abang sulung kepada Fuad yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau sempat mengadakan ceramah bersama adiknya itu kira-kira dua minggu lalu selepas dijemput untuk memberikan ucapan berhubung isu keselamatan kepada deligasi dan wartawan dari luar negara.

Jelas Musa, itu adalah kali terakhir mereka bekerjasama dan menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang berdedikasi terhadap kerjaya dan mempunyai hubungan rapat dengan semua ahli keluarga.

Sebelum dilantik sebagai ketua pengarah Jasa, bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang selama dua penggal. Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum 1999, Allahyarham tewas di tangan Menteri Besar Selangor sekarang, Azmin Ali

No comments:

Post a Comment

Close