Friday, 5 December 2014

Luahan hati Mohd Azijja Zafran, tunang Nur Shafiqa




‘Cinta saya tak berubah. Tidak mungkin saya melupakan insiden itu dan sampai bila pun saya akan ingat terutama bagaimana dia (penjenayah) menoreh muka saya,” kata Nur Shafiqa Lah, 22.




Dalam kejadian jam 2 petang Ahad lalu, muka Nur Shafiqa ditoreh manakala matanya ditumbuk dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di Wakaf Berangan, Bandar Sri Aman.

Turut dicederakan dalam kejadian itu ialah ibu mangsa Hat Tema Mat Zin, 58.

Menceritakan kejadian malang itu, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia hanya teringat mati lebih-lebih lagi apabila penyamun itu tidak menghiraukan rayuan, sebaliknya terus mencederakannya.

“Saya guna kedua-dua tangan untuk melindungi muka dan menangkis serangan lelaki itu.

“Namun, dia cepat menoreh muka dan sedar-sedar saja, saya rasa muka ngilu dan panas apabila darah mengalir dengan banyak dan tangan juga terasa perit. Akibat tidak tahan, saya cuba lawan dan menjadi agresif dan ketika itu, dia keluar dari bilik dan saya mengambil kesempatan mengunci pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Nur Shafiqa berkata, dia bersyukur kerana diberikan kekuatan mempertahankan diri walaupun teruk dikerjakan penjenayah, malah dalam keadaan lemah itu masih sempat meminta bantuan daripada jiran.

Menurutnya, dia tidak pasti nasib dirinya jika tiada jiran mendengar jeritan itu, malah dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Kejadian itu begitu pantas dan penjenayah menceroboh masuk pun seperti halimunan. Saya tidak hanya ditarik keluar dari bilik air, malah kepala turut diketuk dengan objek tumpul.

“Ibu juga cedera ditumbuk beberapa kali di muka. Syukur adik saya selamat kerana sempat bersembunyi di bawah katil,” katanya yang hanya membuka pintu bilik apabila jiran memenuhi rumah mereka untuk membantu.

Nur Shafiqa dan Hat Tema dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA), sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan keluar hospital dan dibawa pulang ke rumah pagi semalam oleh bapanya Lah Hassan, 59, serta tunangnya Mohd Azijja Zafran Mohd Zahari, 24.

Mohd Azijja Zafran berkata, dia berharap penjenayah yang mencederakan tunangnya dapat ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, mereka bercadang melangsungkan perkahwinan pada Mac depan, namun bercadang mempercepatkan tempoh itu.

Katanya, cintanya terhadap Nur Shafiqa tidak berubah, malah menjadi tanggungjawabnya memberikan kata-kata semangat bagi memulihkan semangat insan tersayangnya itu.

No comments:

Post a Comment

Close