Kuala Lumpur: “Sumpah demi Allah, demi Rasul saya tak buat seperti apa yang dituduh itu. Saya tak pernah tahu pun mengenai novel itu. Jadi tak mungkin saya nak tiru. Mungkin beberapa persamaan yang wujud dalam novel dan filem itu hanya satu kebetulan.”
Demikian reaksi Syamsul Yusof berhubung tindakan saman difailkan penulis novel Aku Bohsia iaitu Elias Idris terhadap pengarah dan pelakon itu, bapanya, penerbit Datuk Yusof Haslam dan syarikat mereka, Skop Production Sdn Bhd atas tuduhan meniru tanpa kebenaran.
Syamsul atau nama penuhnya, Mohd Syamsul Md Yusof, 30, berkata, perkara yang disangkakan rungutan kecil individu itu kepada pihak mereka tahun lalu dibesar-besarkan sehingga menjadi tuntutan undang-undang, minggu ini.
“Papa pernah memaklumkan hal ini mengenai ketidakpuasan hati seorang penulis novel mendakwa kami menciplak novelnya menjadi filem Bohsia (2009). Mereka pernah berbincang dan kami menafikan dakwaan itu sebab ia memang tak berlaku seperti dituduhnya.
“Tak sangka pula perkara ini dibawa ke tengah sampaikan pihaknya memfailkan saman ke atas saya, papa dan syarikat. Dia nak saman itu hak dia, jadi kami kenalah lawan dengan undang-undang,” katanya.
Menurut Elias, novel keluaran 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita yang diterbitkan syarikatnya, Kreatif Akademik itu adalah karya asalnya.
Beberapa watak dan jalan cerita dalam novel itu ditiru dan diterbitkan dalam bentuk visual menerusi filem Bohsia (2009) lakonan, tulisan dan arahan Syamsul tanpa kebenaran.
Katanya, dia menyedari persamaan dipercayai peniruan karya tanpa kebenaran itu selepas menonton filem berkenaan tahun lalu.
Elias mendakwa, dia pernah berjumpa dengan Yusof atau nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam, 60, dua kali pada 6 dan 26 Oktober tahun lalu untuk membincangkan hal itu, namun tidak dilayan.
Susulan itu, Elias menerusi peguamnya Tetuan Maha & Peri memfailkan writ saman terhadap Syamsul, bapanya dan syarikat produksi mereka di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 10 November lalu.
Yusof pula berkata, tuduhan dikemukakan Elias adalah perkara tidak logik kerana ia dibangkitkan secara tiba-tiba selepas filem itu ditayangkan di pawagam lima tahun lalu.
“Yang saya pelik, kenapa baru sekarang tiba-tiba dia muncul dan dakwa kami ciplak novel dia? Walaupun saya berani bersumpah kami tak buat perkara macam itu, tapi dia tetap mahu meneruskan hasratnya (saman).
“Untuk pengetahuan, kami tak pernah menerbitkan filem atau drama diadaptasi daripada novel, apatah lagi meniru karya orang lain tanpa kebenaran. Baru-baru ini kami terbitkan drama bersiri daripada adaptasi novel Siri Bercakap Dengan Jin nukilan Tamar Jalis dan beliau dibayar dengan jumlah besar.
“Tapi bila hamba Allah ini memilih untuk besar-besarkan hal ke mahkamah walaupun penafian sudah kami buat, jadi kita ikut sajalah undang-undang nanti,” katanya -Hmetro Online
No comments:
Post a Comment