Pesawat Malaysia Airlines (MAS) PenerbanganMH17 menggunakan laluan merentasi Ukraine yang sedang bergolak kerana laluan itu diisytiharkan selamat dan diluluskan oleh badan-badan penerbangan antarabangsa, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai Jumaat.
“Kami telah menggunakan laluan ini banyak, banyak kali. Malah, 15 daripada 16 syarikat penerbangan di Asia Pasifik menggunakan laluan ini. Syarikat penerbangan Eropah pun menggunakan laluan ini.
“Kami tidak akan menggunakan laluan itu, kecuali jika ada notis saat akhir untuk mengubah laluan berkenaan tetapi…tidak ada sebarang notis,” katanya pada sidang berita di Hotel Sama-Sama di sini.
Liow berkata MAS memutuskan untuk menggunakan laluan lain selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menutup laluan itu dan menyediakan laluan penerbangan alternatif berikutan nahas MH17 pada Khamis.
MH17 adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. Pesawat itu membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal pagi Jumaat berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh, tetapi Malaysia berikrar untuk menyiasat secara terperinci punca yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas di Ukraine.
Pesawat MH17 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari Khamis (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia).
MAS juga mengumumkan semua penerbangan Eropah yang dikendalikannya akan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak laluan lazim itu berkuat kuasa serta merta.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa MH17 memilih menggunakan laluan dengan jarak lebih pendek bagi menjimatkan bahan api dan wang.
Liow menjelaskan selain diluluskan ICAO, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu bukan laluan sekatan.
“Beberapa jam sebelum insiden itu, terdapat beberapa pesawat penumpang syarikat penerbangan lain yang turut menggunakan laluan sama.
“Tidak ada arahan saat akhir diberikan kepada juruterbang MH17 supaya menukar laluan penerbangan,” kata Liow.
Menurutnya pesawat itu juga tidak membuat sebarang panggilan kecemasan.
“Kami berada di laluan yang betul,” kata beliau.
Liow berkata MAS juga mengeluarkan kenyataan mengenai perkhidmatan syarikat penerbangan itu, yang menunjukkan rekod yang baik.
Ia juga mengesahkan bahawa semua sistem pesawat itu berfungsi dengan baik dan ACARS serta transponder pesawat itu juga dalam keadaan baik dan menyalurkan maklumat seperti biasa, kata beliau.
No comments:
Post a Comment