Sunday 27 July 2014

“Lemang Perantau” Pengubat Rindu Buat Anak Malaysia Di Jepun



KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri akan lebih bermakna jika hidangan tradisional seperti “ketupat, lemang dan rendang” dapat disediakan untuk sajian keluarga dan juga tetamu yang berkunjung.

Namun, bagi anak Malaysia di perantauan, tiada lagi ketupat dengan daun palas dianyam terlebih dahulu sebelum disumbat dengan pulut yang telah dimasak seterusnya dikukus.

Tiada juga lemang yang diperbuat daripada beras pulut dan santan, dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak.

Bagi Aida Norfaliesa Yusof, 29, yang tinggal di Nagaoka Niigata, Jepun, keterujaan terhadap keenakan rasa ketupat palas dan lemang mendorongnya menjadi lebih kreatif mencipta lemang sendiri untuk dimakan bersama rendang di pagi Syawal.

Walaupun rasanya sedikit berbeza, namun suri rumah yang tinggal di negara matahari terbit itu sejak April tahun lepas itu berpendapat penyediaan lemang yang dikenali sebagai “lemang perantau” sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa rindu kepada menu tradisional lebaran itu.

“Sewaktu menyambut hari raya tahun lepas, saya pergi ke majlis rumah terbuka seorang kenalan di Nagaoka Niigata dan di situ saya mula tertarik dengan lemang yang dihidangkan.


“Bentuknya saling tidak tumpah seperti lemang di Malaysia. Bermula daripada situ saya cuba mencari resepi untuk memasak lemang diinternet serta bagaimana boleh dimasak tanpa menggunakan buluh,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Menurut wanita yang berasal dari negeri Jelapang Padi itu, cara penyediaan “lemang perantau” agak mudah, tidak serumit seperti lemang yang dimasak di Malaysia.

Ibu kepada Muhammad Farris Faisal, 6, dan Nur Faizatul Aisyah Faisal, 3, itu berkata beras pulut yang telah dibersihkan perlu dicampur santan, sedikit garam dan satu sudu besar minyak masak sebelum dikukus selama 30 minit dengan api bersuhu sederhana menggunakan periuk kukus.

Seterusnya pulut itu akan dibentuk seperti lemang dengan cara memasukkannya ke dalam botol air mineral bersaiz 500 milimeter yang telah dipotong separuh dan pastikan pulut itu benar-benar padat di dalam botol, katanya.

“Selepas itu, pulut dikeluarkan daripada acuan (botol), dibalut dengan daun pisang yang telah dilayur dan dikukus semula selama lima minit sebelum dipotong nipis seperti lemang biasa setelah disejukkan seketika,” katanya.

Aida Norfaliesa berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan beras pulut dan santan kerana bahan utama itu mudah diperoleh di mana-mana pasar raya di sekitar kawasan kediamannya.

Namun, untuk bekalan daun pisang beliau terpaksa membelinya secara dalam talian di baticrom.com dan pada kebiasaan belian yang dibuat akan diterima dalam tempoh dua hari, katanya.

Mengenai persiapan raya di tempat orang, Aida Norfaliesa yang mengikut suaminya, Faisal Ariffin, 33, menyambung pengajian di Nagaoka University of Technology berkata sambutan hari raya mereka tidaklah semeriah seperti menyambutnya di kampung halaman sendiri.

Aida Norfaliesa berkata lazimnya beliau sekeluarga menyertai pelajar Malaysia yang lain berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau yang terletak berhampiran kediaman mereka di International Students House, Nagaoka University.

“Setelah solat, kami akan ke Dewan Makan International Students House atau “Kaigi Shitsu” bagi menikmati pelbagai jenis hidangan seperti ketupat, aneka kuih raya, termasuk “lemang perantau” hasil air tangan saya,” katanya yang amat merindui ketupat palas yang dibuat ibunya di tanah air. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Close