Biarpun dilahirkan sebagai Kristian dan merupakan anak tunggal seorang paderi, seorang model antarabangsa kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat akhirnya terbuka hati memeluk Islam.
Itulah kisah model, Aliza Kim (gambar atas) berdarah Thailand yang baru berusia 20-an dan sudah menerima hidayah Allah untuk menjadi seorang Muslimah sejak tahun lepas.
Aliza kini menetap di Malaysia sejak enam tahun lalu, menurut artikel di blog bicaramedia.blogspot.com.
Sebagai anak tunggal dan dibesarkan dengan ajaran Kristian sempurna oleh bapa bergelar paderi, Aliza berkata, dia perlu mengambil berat perasaan kedua-dua ibu bapanya sebelum mengumumkan menganut Islam.
Berikutan itu, dia mengambil masa setahun untuk membuktikan kasih sayang sebagai anak kepada ibu bapa sebelum mengisytiharkan pengislamannya kepada masyarakat dan keluarga, Januari lalu.
“Sebelum memaklumkan mereka mengenai status Islam, terlebih dulu saya memberitahu bahawa diri sedang mempelajari Islam dan tiada sebarang bantahan daripada mereka.
“Bapa seorang lelaki yang baik dan taat kepada agama, pernah terlintas di fikiran saya bahawa sukar untuk berterus-terang kepadanya.
“Temujanji antara anak dan bapa di Melaka, tahun lalu, memberi peluang kepada saya untuk membuktikan diri masih anak yang mereka sayangi sejak kecil. Kasih sayang itu tidak akan berubah.
“Semestinya pengakuan saya membuatkan mereka bersedih, namun bapa berfikiran terbuka dan mereka menerimanya dengan hati terbuka.
“Pesanan mereka sekiranya Islam memberi ketenangan dan harapan, saya diberi kebebasan untuk meneruskan pilihan itu,” kata Aliza ketika ditemui pada majlis International Hijab Event 2014, di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Program itu diadakan sempena Hari Hijab Sedunia 2014 yang turut disambut semalam.
Wanita ini mengakui memiliki alasan kukuh merahsiakan dulu status pengislamannya, termasuk persediaan menjadi Muslimah sejati secara luaran mahupun dalaman dan penerimaan ibu bapanya.
Sebelum saya umumkan kepada khalayak ramai, saya perlu membuat persediaan awal.
“Saya ingin memakai pakaian menutup aurat, berhijab bukan sekadar menutup rambut, bahkan hati dan fikiran saya,” katanya.
Menurut Aliza, perjalanannya bergelar seorang wanita Muslm bermula dengan bacaan dan kajian untuk mencari ketenangan sebenar dalam hidup.
Jika beliau mengumumkan keislamannya lebih awal namun tidak memiliki ciri-ciri wanita Muslimah sama ada pemakaian, pemikiran mahupun percakapan, mungkin ada yang menganggap ia mainan dan penghinaan kepada Islam sendiri.
“Saya ingin menjadi Muslimah sejati, di dalam mahupun di luar,” katanya yang kini giat menghasilkan buku panduan Islam kepada saudara baru dengan cara lebih mudah.
Berkongsi cerita penghijrahannya, Aliza yang kini aktif menghadiri kelas agama setiap hujung minggu ini mengakui perjalanan mencari kebenaran bermula apabila kehidupan peribadinya berdepan krisis besar, termasuk gemar menyertai parti sosial dan bergambar “berani” dalam dunia fotografi.
“Selepas enam bulan hidup dengan cara itu, saya mula bosan dan kekosongan jiwa belum diubati. Kemudian, saya menyesal dan berhasrat untuk kembali kepada ajaran agama.
“Saya tinggalkan semua aktiviti itu dan mendekatkan diri kepada Tuhan dengan harapan dapat menemui ketenangan sebenar.
“Berniat mencari agama dan ajaran sebenar, saya mengunjungi banyak gereja serta membuat kajian mendalam sejak 2012.
“Namun pencarian itu belum memenuhi kekosongan jiwa. Lantas saya mula mengkaji agama dan ajaran yang dibawa golongan nabi termasuk Muhammad, Isa dan Musa.
“Saya percaya nabi tidak akan sekali-kali melakukan kesilapan,” katanya sambil mengakui teman menyarankan supaya mengkaji Islam.
Sepanjang pembacaannya mengenai Islam terutama kisah nabi, Aliza mengakui lebih mudah memahami kerana dia turut mempelajarinya dalam Bible.
Aliza berkata, dia tertarik dengan sistem dan penstrukturan Islam dalam aspek kehidupan seperti bersolat, makan, pakaian mahupun bercakap.
“Apabila kita ikhlas mencari Allah, Dia akan datang kepada kita. Kemudian, saya mencari kebenaran mengenai satu Tuhan, bukan saja Islam, Kristian mahupun Yahudi, bahkan agama lain.
Saya membaca 12 buku dan setiap buku itu membawa saya kepada pencarian dan pengetahuan baru mengenai kebenaran.
“Saya berasakan ia adalah aturan sempurna ditetapkan Allah untuk saya melihat kebenaran.
“Apabila difikirkan semula, secara ikhlas saya yakin sebenarnya kebenaran yang menemui saya,” kata lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa ini.
Disoal masih merindui dunia peragaan, Aliza berkata, pekerjaan itu dilakukan bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya mencari pendapatan menampung kehidupannya.
Oleh : IKA
No comments:
Post a Comment