Tuesday 24 June 2014

Kes Altantuya: Terbaru, Selipar yang berdarah menjadi tumpuan di mahkamah




Pendengaran rayuan terhadap pembebasan Chf Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas pertuduhan membunuh warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu memasuki hari kedua hari ini.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara II Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad, J Kuldeep Kumar sementara Sirul diwakili oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Rezua Merican dan Ahmad Zaidi Zainol.

Rayuan akan didengar di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria.

Hakim terlibat adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Abdull Hamid Embung, Suriyadi Halim Omar dan Ahmad Maarop.

Semalam, pihak pendakwaan membangkitkan beberapa penyalaharahan, termasuk rekod balai Bukit Aman, selipar dengan kesan darah dalam kenderaan Sirul dan rekod telefon bagi mengesan lokasi Azilah semasa pembunuhan berlaku.

Laporan langsung

2.45pm: Kamarul berhujah, kesan darah yang dikatakan milik Altantuya dan didakwa ditemui di selipar dalam kenderaan Sirul adalah tidak relevan.
Katanya, kematian Altantuya disebabkan “kemungkinan kecederaan berkaitan letupan” dan penyiasat tidak menemui setitik pun darah di lokasi jenayah.

Tambahnya, ujian menunjukkan bahawa tidak meyakinkan ia berasal daripada Altantuya.

“Jadi jika darah ditemui… ia ada kaitan dengan apa? Sebab kematian bukan daripada tembakan senjata api atau ditikam yang menumpahkan darah,” katanya.

Hakim Arifin bagaimanapun berkata:

“Ia mengukuhkan beberapa kaitan… Bagaimana terdapat selipar dengan darah, dia (tertuduh) mesti jelaskannya,” katanya.

Kamarul kemudiannya berkata, kenderaan Sirul berada di tangan rakan polisnya antara 3 hingga 6 Oktober 2006, lebih kurang sama masa ketika keraguan pada Sirul muncul.

Selipar berdarah itu kemudiannya ditemui dalam kenderaan itu pada 9 Oktober, katanya.

3pm: Hakim Arifin bertanya jika Kamarul berkata Sirul dianiaya, yang mana peguam itu menjawab positif.

Arifin kemudian meminta Kamarul merujuk mahkamah kepada bahagian-bahagian relevan pembelaan yang hujah itu dibuat ketika perbicaraan.

Kamarul setuju melakukannya esok. Mahkamah ditangguhkan.

1.41pm: Kamarul membangkitkan mengenai hujah pendakwaan bahawa polis tidak dapat meletakkan bukti di rumah Sirul kerana tidak mempunyai kunci.

Katanya, kunci tersebut diserahkan oleh Sirul kepada ACP Mastor Mohd Ariff.

Mastor membuat perjalanan ke Pakistan untuk menahan Sirul yang sedang bertugas sebagai salah seorang dalam pasukan pendakwaan perdana menteri pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kamarul berkata Mastor menyerahkan kunci tersebut kepada seorang pegawai yang mengunjungi rumah Sirul.

Bagaimanapun, kata Kamarul, Mastor memberi keterangan bahawa kunci yang digunakan untuk memasuki rumah Sirul bukan kunci sama yang diserahakn kepada pegawainya.

“Beliau berkata kunci yang diserahkan itu sudah lusuh, yang ini masih baru.

“Terdapat satu lagi set kunci, dari mana kunci ini datang?,” soalnya.

“Jika polis sudah mempunyai kunci dan sudah mengunjungi rumah tersebut dan hanya pada masa itu barang kemas tersebut ditemui di rumah tersebut, maka ia bahan bukti yang tidak selamat,” katanya.

Kamarul berkata pihak pendakwaan mengabaikan fakta berhubung kewujudan satu lagi set kunci.

1.20pm: Kuldeep menamatkan penghujahannya.

Kamarul Hisham seterusnya memulakan penghujahan bagi Sirul, tertuduh kedua.

Kamarul membangkitkan mengenai barang kemas Altantuya yang didakwa ditemui di rumah Sirul.

Katanya, Sirul tidak membawa polis ke rumahnya untuk menunjukkan kedudukan barang kemas tersebut, dan menganggap seluruh proses tersebut “dirancang”.

Kamarul berkata Sirul hanya dipanggil masuk ke rumah tersebut selepas polis menemui barangan berkenaan ketika tertuduh menunggu di luar.

“Selepas dia dipanggil masuk, hanya selepas itu dia diminta beraksi untuk rakaman gambar,” katanya.

12.35pm: Sesi pendengaran bersambung.
Azilah dan Sirul mengambil tempat selepas memasuki mahkamah melalui pintu sisi.

Jurugambar setakat ini gagal mengambil gambar baru kedua-dua mereka.

Kuldeep memulakan penghujahannya.

11.35am: Kuldeep mengemukakan hujah bahawa diari balai tersebut menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

“Kedudukannya adalah, diari balai ialah bukti kukuh dan menimbulkan keraguan munasabah. Sama ada ia diterima atau tidak, ia menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Persidangan mahkamah ditangguhkan untuk rehat selama 30 minit.

Sementara itu, Manoj Kurup ketika diminta menjelaskan mengenai letupan yang digunakan ke atas si mati berkata, letupan yang digunakan adalah pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan Research Department explosive (RDX).

Ditanya mengapa penghakiman Mahkamah Rayuan menggunakan istilah “C4″, Tun Abdul Majid menjawab:

“Mereka (hakim) tidak baca rekod, mereka baca akhbar”.



Sumber baca lanjut di Malaysiakini BM

No comments:

Post a Comment

Close