Tidak hanya pelakon, pengarah, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor akan hadir berkongsi pengalaman serta ilmu perniagaannya menerusi slot Tips Memburu Kejayaan di Fiesta Muslimah BH 2014 pada 23 November ini, malah lebih istimewa lagi apabila anak keduanya, Nur Anis Mohd Noor, 21, turut memberi sokongan untuk acara itu.
Anak aktor terkenal itu akan membuka gerai jualan produk berimej muslimah miliknya yang diusahakan di bawah jenama, Bidadari Contemporary.
Rosyam dan Nur Anis begitu teruja kerana buat julung kalinya mereka akan bersama di bawah penganjuran acara yang sama. Ditemui pada sidang media Fiesta Muslimah BH 2014, di Balai Berita, Bangsar, Khamis lalu, mereka akui bagaikan tidak sabar untuk menyerikan lagi festival berkenaan yang bakal berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur.